DJ Issey THR Gegar Lawat Koleksi Khas Jawi PTAR
Tarikh: 29 Julai 2025
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam telah menerima kunjungan istimewa daripada penyampai radio terkenal THR Gegar, Issey Fazlisham, yang juga merupakan alumni Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), UiTM Kampus Puncak Perdana (2008 & 2011).
Kehadiran beliau disambut mesra oleh Ketua Pustakawan UiTM, YBhg. Ts. Hj. Azizi bin Haji Jantan, yang turut mengiringi beliau melawat Koleksi Khas Jawi PTAR sebuah koleksi istimewa yang menghimpunkan manuskrip dan bahan bacaan bertulisan Jawi sebagai khazanah warisan intelektual negara.
Lawatan ini bersempena dengan rakaman Podcast “Zaman Now” anjuran Persekutuan Alumni UiTM, dengan kerjasama ICAN dan PTAR UiTM. Dalam episod ini, Issey berkongsi kisah perjalanan hidup, nostalgia zaman kampus, dan kepentingan menghargai ilmu serta identiti budaya sebagai alumni UiTM.
Issey turut menyatakan rasa teruja dan bangga dapat kembali menyumbang semula kepada universiti tercinta melalui platform ilmiah yang mendekatkan alumni dan masyarakat umum.
“Tulisan Jawi ini bukan sekadar warisan, tapi satu bentuk seni dan ilmu. Saya bangga dapat melihat usaha UiTM mengekalkannya,” ujar beliau.
Program ini menjadi manifestasi nyata kepada pengukuhan jaringan alumni dan kesinambungan sokongan terhadap agenda pemerkasaan budaya ilmu UiTM.