PTAR Jalinkan Kolaborasi Merentas Sempadan Bersama Muzium Al-Quran Melayu Raya Thailand
Tarikh: 3 Mei 2025
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pemeliharaan dan penyebaran ilmu warisan Melayu-Islam menerusi jalinan kerjasama strategik bersama Muzium Al-Quran Melayu Raya, Narathiwat, Thailand.
Kerjasama ini dimeterai sempena lawatan kerja delegasi PTAR ke muzium tersebut yang berlangsung dari 28 hingga 31 Mei 2025. Kolaborasi ini memberi tumpuan kepada pembangunan dan pendigitalan koleksi manuskrip Melayu, khususnya dalam bentuk tulisan Jawi yang diiktiraf sebagai khazanah keintelektualan dan tradisi keilmuan Melayu yang sangat bernilai.
Dalam surat persetujuan rasmi bertarikh 3 Mei 2025, pihak Muzium Al-Quran Melayu Raya menyambut baik cadangan kolaborasi ini yang dilihat berpotensi memberi impak besar kepada kedua-dua institusi. Antara teras kerjasama utama ialah pemilihan dan pemuatan naik manuskrip digital terpilih ke dalam Repositori Persuratan Jawi UiTM bagi tujuan rujukan akademik dan pengembangan ilmu secara lebih meluas.
Repositori Persuratan Jawi UiTM yang dibangunkan oleh PTAR merupakan satu platform digital yang menghimpunkan koleksi bahan Jawi daripada pelbagai bidang seperti kitab turath, al-Quran, hadis, ibadah dan kesusasteraan Melayu klasik. Platform ini telah mendapat perhatian pelajar, penyelidik dan pelawat dari dalam dan luar negara. Akses repositori ini boleh dibuat melalui pautan: https://mykm.uitm.edu.my/jawi/
Kolaborasi ini menjadi antara inisiatif penting dalam memperkukuh hubungan antara perpustakaan dan muzium serantau, serta memperluas jaringan pemeliharaan koleksi manuskrip Jawi di peringkat antarabangsa. Ia juga seiring dengan aspirasi PTAR untuk menjadi pusat rujukan koleksi Jawi negara dalam bentuk fizikal, digital, atau kedua-duanya.